Posted by: diana husna | June 11, 2008

Fenomena isteri curang

Baru-baru ini saya ada terbaca mengenai kisah isteri curang yang mengadu hal dalam ruangan Dang Setia dalam Metro Ahad untuk mendapatkan nasihat. Hakikatnya kisah isteri curang ni bukan lagi perkara pelik pada masa kini. Paling mengerikan ia bagaikan trend semasa hinggakan jika buka akhbar atau majalah hampir setiap hari menyajikan cerita sama. Apalah nak jadi dengan wanita sekarang, sudah hilangkah nilai diri dan pegangan hingga terpedaya dengan bisikan syaitan. Di sini disertakan petikan wanita itu.

Saya isteri dan ibu kepada dua anak. Suami saya panas baran tapi dia bertanggungjawab terhadap keluarga. Masalah saya ialah tidak dapat melupakan bekas kekasih. Saya sedar, sebagai isteri saya tidak boleh berbuat demikian tapi apakan daya sebagai manusia biasa, saya tidak boleh lari daripada kesilapan.
  Saya amat menyayangi suami saya dan rasa bersalah kerana menduakannya. Kecurangan saya berpunca daripada tindakan suami yang memukul saya ketika kami bergaduh. Pantang bergaduh, tangannya akan hinggap ke muka saya.
  Setiap kali suami memukul saya, ingatan saya akan kembali kepada bekas kekasih saya kerana dia seorang yang penyabar. Sepanjang perhubungan kami, dia tidak pernah memarahi, apa lagi memukul saya.
  Percintaan saya dengan bekas kekasih terputus kerana tidak direstui keluarga. Puncanya, kami berlainan agama. Selepas sekian lama berpisah, baru-baru ini dia menghubungi saya selepas mendapat nombor telefon saya daripada seorang rakan.
  Sejak itu, kami berhubungan semula. Dia berterus terang memberitahu sudah ada kekasih, namun layanannya terhadap saya masih seperti dulu. Kami pernah bertemu secara sembunyi beberapa kali dan setiap kali berjumpa, kami akan terlanjur.
  Sebenarnya, dulu pun kami pernah terlanjur dan kini kami mengulanginya. Sebelum ini saya yakin cintanya terhadap saya masih ada, cuma dia tidak mengakuinya tapi kebelakangan ini saya mula ragu terhadapnya.
  Ini kerana, setiap kali berjumpa dan melakukan hubungan seks, keesokannya apabila saya menghubunginya dia melayan saya seperti mahu tak mahu saja. Selang beberapa bulan kemudian, baru dia akan melayan saya dengan baik. Selepas itu, situasi sama akan berulang.
  Kini, saya terfikir adakah dia menjadikan saya tempat memuas nafsu saja. Pada pemerhatian saya dia juga sudah tidak seperti dulu apabila memberitahu dia ramai teman wanita dan turut melakukan hubungan seks dengan mereka.
  Dia memberi alasan menjadi begitu kerana kecewa dan tertekan selepas saya meninggalkannya. Memang saya akui dia banyak berkorban terhadap saya. Ini yang menyebabkan diri saya serba salah dan sanggup menyerahkan tubuh kepadanya.
  Suami pernah menghidu perhubungan saya dengan bekas kekasih saya ini tapi saya menafikannya. Suami terus memaafkan saya kerana memikirkan masa depan dua anak kami. Itu yang menyebabkan saya rasa semakin bersalah.
  Namun, terlalu sukar untuk saya melupakan kekasih saya itu. Tolonglah saya Dang Setia, bagaimana saya mahu keluar daripada masalah ini.

ISTERI RUNSING
Puan memberitahu hubungan dengan kekasih sebelum ini putus kerana perbezaan agama. Dang Setia yakin ini bermakna seorang daripada kalian beragama Islam dan seorang lagi bukan.
  Jadi, timbul persoalan di benak Dang Setia, adakah kekasih puan bukan Islam atau puan yang bukan Islam. Maaf, jika telahan Dang Setia ini tersilap. Namun, Dang Setia terfikir kemungkinan itu kerana di dalam surat puan, tidak sedikit puan puan bercakap mengenai dosa, pahala dan hukum Allah.
   Soal agama penting bagi Dang Setia kerana jika puan bukan Islam, pastinya tidak kena untuk Dang Setia menjadikan syariat Islam sebagai asas nasihat Dang Setia kepada puan.
   Sebaliknya, jika puan seorang Islam wajib untuk Dang Setia menasihati puan supaya bertaubat, memutuskan hubungan dan menamatkan keterlanjuran dengan kekasih puan itu kerana apa yang anda berdua lakukan sekarang berdosa besar.
    Sebagai umat Islam, jangan sekali-kali lupa bahawa segala janji Allah mengenai balasan terhadap hamba-Nya yang ingkar adalah benar. Jika puan tak tahu, beli buku agama dan lihat apa hukuman Allah terhadap isteri yang berzina dengan lelaki lain.
   Ingat, itulah hukuman yang bakal menanti puan dan puan tidak akan sekali-kali terlepas daripadanya, melainkan puan bertaubat dan taubat puan diterima Allah.
   Sebenarnya, jika tidak dilihat daripada sudut agama pun, tidak sukar untuk merumuskan betapa tindakan puan menjalin hubungan hingga terlanjur melakukan hubungan seks dengan lelaki lain, adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral.
   Puan mengatakan sebagai manusia biasa, puan tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan . Itu memang betul, tapi sebagai manusia juga, apabila menyedari kesilapannya seseorang itu wajib berhenti daripada mengulangi kesilapan itu.
   Bagi Dang Setia, orang yang sudah sedar dia melakukan kesilapan tetapi masih mengulangi dan terus mengulangi kesilapan itu, layak digolongkan dalam kategori manusia yang rendah martabat serta cetek akal fikirannya.
   Jika puan tidak mahu termasuk dalam golongan manusia yang Dang Setia maksudkan itu, tamatkanlah hubungan dengan kekasih puan dan berilah perhatian sepenuhnya kepada suami puan yang amat puan sayangi itu.
  Ya, dia memang melakukan kesilapan apabila memukul puan setiap kali bergaduh. Namun, cara untuk menyelesaikan masalah itu bukanlah dengan menduakan suami hingga tergamak melakukan hubungan seks dengan lelaki lain.
   Tidak kiralah sama ada lelaki itu bekas kekasih atau sesiapa saja, yang pasti, puan kini isteri orang dan satu-satunya lelaki yang boleh menyentuh tubuh puan ialah suami puan. Tiada guna jika mulut sekadar mengatakan puan cintakan suami tapi pada masa yang sama tubuh diserahkan pada lelaki lain.
   Puan, bertindaklah mengikut akal yang waras dan bukannya nafsu serakah. Buka minda puan seluas-luasnya. Tidakkah puan nampak betapa buruknya sikap kekasih puan itu kerana dia sendiri mengaku ada ramai teman wanita dan turut melakukan hubungan seks dengan mereka.
  Ini bermakna, sudah terang lagi bersuluh dia bukan jenis lelaki yang baik. Alasan dia jadi begitu kerana kecewa dan tertekan selepas ditinggalkan puan, hanyalah alasan karut daripada lelaki hidung belang.
   Kini, puan sendiri sudah sedar yang diri puan tidak lebih daripada salah satu tempat memuaskan nafsunya. Jadi, jangan tunggu lebih lama untuk meninggalkannya. Berbincanglah dengan suami untuk mengatasi kemelut ini kerana Dang Setia percaya pintu terbuka luas untuk rumah tangga puan diselamatkan. 

Begitulah antara petikan dan ulasan yang diberikan oleh Dang Setia kepada Isteri Runsing atau lebih tepat isteri curang.

Kepada wanita yang bergelar isteri di luar sana harap renungi dan kembalilah kepada akad perkahwinan yang sudah dimeterai. Marilah kita perbaiki imej isteri yang sudah dicalarkan oleh wanita-wanita curang ini. Jadilah isteri yang setia kerana hidup inipun bukan untuk selama-lamanya, hidup di sana yang lebih kekal menanti kita.

 

About these ads

Responses

  1. Isteri tu mesti tak cium bau syurga. Sedangkan bau syurga boleh dihidu 500 tahun perjalanan.

    Mudahnya ambil jalan sendiri tanpa refer pada panduan hidup selepas kecewa dengan cubaan.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: